Wednesday, October 31, 2012

KHUTBAH JUMAAT MASJID AT-TAQWA BINTULU : MU'AMALAT ISLAMIYAH (2 NOV 2012)


الحمد لله القائل في كتابه العزيز : فَإذا قُضِيَتِ الصلوةُ فانْتَشِرُوا فِي الأرضِ وابْتَغُوا مِن فَضلِ اللهِ واذْكُرُوا اللهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُم تُفْلِحُونَ * و الحمد لله الذي فضل العلماء بإقامة الحُجَجِ الدينية ومعرفةِ الأحكام . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله . اللهم صل على سيدنا محمد أرسله الله بشيرا و نذيرا بين يدي الساعة فأدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح الأمة وجاهد في الله حق جهاده وعلى آله وأصحابه  إمامِ كلِّ إمامٍ ومن تبعه ونصره ووالاه . أما بعد .. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ . أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون .
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah menegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud, maka apabila kamu telah selesai menunaikan solat (pada hari Jumaat), maka bertebaran di seluruh ceruk muka bumi Allah dan berusahalah mencari segala apa yang kamu hajati daripada limpah kurniaan Allah; dan sentiasalah  ingat kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan (di dunia dan akhirat)  Segala puji juga bagi Allah, Tuhan yang telah meletakkan ketinggian darjat para ulama yang telah menampilkan ketegasan hujah-hujah keagamaan dan menjelaskan pengetahuan tentang hukum-hukum agama.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. yang mana Allah telah mengutus  baginda sebagai pembawa berita gembira dan juga amaran sebagai satu peringatan.
Sidang hadirin yang dihormati, pertamanya saya menyeru dan berpesan, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan mempastikan segala aspek kehidupan kita termasuk mu’amalat seharian kita agar menepati garis panduan yang telah ditetapkan oleh Syarak.
Sidang Jumaat yang dimuliakan, kesempatan berkhutbah pada kali ini, sukacita ingin  saya menarik perhatian tuan-tuan yang mulia, marilah kita sama-sama mempelajari dan menghayati beberapa aspek mu’amalat atau tatacara  berusaha dan mencari sara kehidupan. Saya melihat perkara ini amat perlu diketengahkan dan ditegaskan dengan sebaiknya kepada khalayak umum dalam jamaah yang ramai seperti perhimpunan Jumaat yang penuh keberkatan ini. Mungkin perkara atau topic ini pernah kita pelajari bersama dalam kulliyah-kuliyah Maghrib, namun bilangan yang mengikutinya tidak seramai perhimpunan Jumaat seperti hari ini. Justeru peluang dan ruang ini sayugianya dipergunakan untuk meyebarluas suatu kefahaman tentang mu’malat islamiah yang rata-ratanya masih ramai umat Islam meminggirkannya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan betapa malangnya dalam kalangan masyarakat Islam apabila ada yang merasakan begitu jijik kalau termakan atau memperkatakan persoalan makan babi, namun tidak berasa salah apatah lagi merasakan jijik untuk makan riba dan makan rasuah. Walhal Allah s.w.t telahpun menegaskan di  dalam firman-Nya:
﴿ وأحل الله البيع وحرم الربا﴾
Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan jual-beli atau perniagaan dan mengharamkan riba.
Sementara itu di dalam sebuah hadis:
عن عبد الله بن  عمرو بم العاص رضى الله عنهما قال : ( لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الراشي والمرتشي )
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amri bin al-As katanya: ( rasulullah s.a.w. telah melaknat pemberi dan penerima rasuah) – hadis riwayat Abu Daud & Tirmizi.
Sidang Jumaat yang dihormati, ketahuilah bahawa Islam tidak pernah menghalang kita daripada mencari harta kekayaan. Justeru itu berusahalah mencari harta daripada limpahan kurniaan Allah s.w.t. yang walaupun kalian mampu mengumpul sebanyak-banyaknya dan dapat menongkat lagit sekalipun. Namun sekali lagi kita diperingatkan tentang halal dan haramnya dalam sesuatu usaha yang kita lakukan. Ingatlah tiada sesuatupun daripada usaha yang kita lakukan tidak dijelaskan status hukumnya, melainkan hanya ilmu pengetahuan tentangnya sahaja yang menentukan sama ada kita  terlibat dalam usaha yang haram mahupun halal. Sabda Rasulullah s.a.w. :
( الحلال بين والحرام بين وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمها كثير من الناس ، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لعرضه ودينه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام كالراعي حول الحمى يوشك أن يقع فيه )
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu telah nyata dan yang haram juga telah nyata, dan di antara keduanya terdapat sesuatu yang masih diragui dan kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Justeru orang-orang yang sentiasa memelihara dirinya daripada perkara yang diragui itu samalah seperti orang yang telah memelihara maruah diri dan agamanya. Sementara sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara yang diragui itu bakal terjerumus pula ke dalam perkara yang haram; sama seperti seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar kawasan larangan yang akhirnya lalai dan memasuki kawasan larangan tersebut.    - Hadis riwayat abu Daud, Ibnu majah & at-Tirmizi
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Hambatan keperluan hidup mutakhir ini seolah-olah mewajibkan kita bergantung sepenuhnya kepada bank-bank dan institusi kewangan untuk membiayai pembelian kenderaan, rumah dan sebagainya. Dalam hal ini, scenario yang berlaku selepas tahun 1990 telah mendorong institusi-institusi kewangan mula memperkenal kaunter perbankan Islam di samping meneruskan pinjaman konvensional yang berteraskan riba. Justeru alangkah malangnya bagi kita yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat sekiranya masih memilih untuk meneruskan pinjaman yang berteraskan riba, walhal di hadapan kita terbuka luas pembiayaan alternative secara islam yang diperkenalkan oleh institusi-institusi kewangan dengan pelbagai jenama produk mereka, seperti al-Bai bi thamanin ajil atau al-bai bit-taqsit dan seumpamanya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian;
Izinkan saya menyentuh sedikit persoalan akhlak dalam masalah jual beli dan perniagaan. Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ulumiddin telah menjelaskan betapa sesuatu yang bakal mendatangkan kerugian kepada orang lain  dalam  urusan jual beli merupakan satu penganiayaan yang diharamkan. Maka hak dan keadilan hendaklah diterjemahkan dengan menafikan kerugian yang bakal menimpa pihak yang berurusan dengan kita dalam urusan jual beli. Maka, seorang peniaga hendaklah:
Pertama, tidak melakukan diayah atau promosi yang melampau ke atas barangan mereka melampaui kebenaran.
Sabda rasulullah s.a.w.
( وَيلٌ لِلتَّاجِرِ مَن بَلَى واللهِ ولا واللهِ وويل للصانِع مِنْ غَدٍ وبعد غَدٍ )
Celakalah bagi peniaga yang bersumpah, demi Allah dan demi Allah tidak; dan celaka juga bagi pekerja yang membohongi janji untuk disiapkan esok atau lusa ( sedangkan dia tidak mampu menyiapkannya).
Kedua, tidak menyembunyikan kecacatan yang ada pada produk yang dijual.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
( لا يحل لأحد يبيع بيعا إلا أن يُبَيِّنَ آفَتَهُ ، ولا يحل لمن يَعلم ذلك إلا تَبْيِيْنَهُ )
Tidak halal bagi seseorang yang menjual sesuatu barang, melainkan dia menerangkan akan kecacatan yang ada; dan tidak halal bagi orang yang mengetahui akan kecacatan itu melainkan dia memberitahunya (kepada orang lain).
Ketiga, tidak mengurangi sukatan atau timbangan apabila menyukat atau menimbang.
Firman Allah s.w.t.:
﴿ ويل للمطففين الذين إذا اكتالوا على الناس يَستَوفُونَ وإذا كالوهم أو وَّزَنُوهم يُخْسِرُونَ ﴾
Celakalah bagi orang-orang yang mengurangi timbangan ( dengan merugikan) orang lain. Mereka mencukupkan apabila timbangan itu untuk dirinya dan mengurangi timbangan apabila menimbang untuk orang lain. – surah al-Mutafifin 1-3
Dan keempat, tidak menyembunyikan harga pasaran, khususnya terhadap pembekal-pembekal yang datang dari pedalaman.  
Sidang hadirin sekalian, sebenarnya masih banyak yang perlu diperkatakan, namun kekangan masa dalam konteks sebuah khutbah yang perlu diringkaskan demi menjaga kepentingan jamaah, maka sekian dahulu untuk kali ini.
بارك الله لي ولكم في القرءان العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم . أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات ، فاستغفروه ، فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين .    




No comments:

Post a Comment