Cool WidgetsStun MeStun Me

Thursday, November 7, 2013

KHUTBAH JUMAAT MASJID AT-TAQWA BINTULU 4 MUHARRAM 1435H : HIJRATURRASUL S.A.W.



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله القائل : ﴿ إن الذين ءامنوا والذين هاجروا وجاهدوا في سبيل الله أولئك يرجون رحمت الله والله غفور رحيم ﴾ وقال صلى الله عليه وسلم يوم فتح مكة : ( لا هجرة بعد الفتح ولكن جهاد ونية وإذا استُنفِرتم فانفروا ) أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير , وأشهد أن محمدا عبده ورسوله ، أرسله الله بشيرا ونذيرا بين يدي الساعة . فأدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح الأمة وجاهد في الله حق جهاده .
اللهم صل على سيدنا محمد الفاتح لما أغلق والختام لما سبق ناصر الحق بالحق والهادي إلى صراطك المستقيم وعلى آله وصحبه حق قدره ومقداره العظيم . أما بعد : فيا عباد الله , اتقوا الله تعالى حق تقاته , أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون .
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Kesempatan menyampaikan khutbah pada Jumaat yang pertama bagi tahun baharu hijrah kali ini, terlebih dahulu sukacita saya berpesan untuk peringatan kita semua, lebih-lebih lagi peringatan kepada diri saya sendiri, marilah sama-sama kita memperteguhkan ketakwaan kepada Allah dengan berusaha sedaya upaya mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala larang-Nya.

Sidang hadirin yang berbahagia, kalendar Hijri bagi tahun 1434 Hijrah baharu sahaja melabuhkan tirai dan serentak dengan itu kita mula meraikan kedatangan tahun baharu Hijri. Apapun tanggapan atau persepsi kita terhadap kalender Hijri sehingga ia dipinggirkan  berbanding kalender Masihi yang menjadi pedoman sebagai garis masa dan temu janji kita seharian, hakikatnya ia tetap mempunyai nilai yang penuh bermakna terhadap Islam yang kita junjung selama ini. Ketahuilah bahawa kalender Islam ini mula diperkenalkan semasa pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab sebagai satu instrument untuk memudahkan kehidupan umat Islam. Untuk rekod, sejarah telah mencatat seperti apa yang dinukilkan oleh Ibnu Kathir, berdasarkan catatan  Ibnu Sirin bahawa terdapat cadangan daripada seorang lelaki kepada Amirul Mukminin Umar Ibnu al-Khattab agar diwujudkan sebuah calendar Islam yang berasingan daripada calendar masihi yang telah lama diguna pakai oleh orang-orang Rom ketika itu. Cadangan yang menarik ini diterima baik oleh Khalifah Umar al-Khattab. Namun persoalannya, di manakah detik permulaan untuk dijadikan asas bagi perkiraan tahun dalam Islam. Justeru persoalan ini, maka lahirlah beberapa pendapat, antaranya ada yang mencadangkan agar tahun kelahiran Nabi s.a.w. dijadikan detik permulaan, ada juga yang mencadangankan tahun wafat dan cadangan tahun yang mana Nabi s.a.w. diutus menjadi rasul sebagi detik permulaan. Namun semuanya gagal menarik perhatian Khalifah Umar Ibnu al-Khattab sehinggalah dicadangkan Hijraturrasul s.a.w. sebagai detik permulaan, maka Sayidina Umar Ibnu al-Khattab melihat di sinilah terdapat suatu nostalgia penuh makna yang mula membawa perubahan dan kejayaan dalam Islam.

Sidang hadirin yang dihormati, apa yang ingin saya tekankan pada khutbah kali ini ialah betapa Hijraturrasul s.a.w. merupakan suatu detik perubahan dalam Islam sehingga intipati Islam secara keseluruhannya dapat direalisasikan sebagai ad-Din atau sebagai apa yang diterjemahkan “Islam sebagai cara hidup”. Hijraturrasul s.a.w. merupakan detik bersejarah yang terakam hasil perencanaan Allah s.w.t. bagi menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin sebuah Negara. Justeru skop peranan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin tidak sahaja terbatas sekadar memimpin sebuah keluarga atau hanya sekadar memimpin jamaah dalam solat semata-mata. Bahkan sari sirah kehidupan Rasulullah s.a.w. yang wajib diteladani meliputi keseluruhan aspek kehidupan yang mancakupi soal ibadat yang bersifat hubungan dengan Allah dan juga soal siasah dan pemerintahan yang mesti berpandukan kepada syariat Allah s.w.t.. Sejarah telah merakam betapa kuasa politik yang dimilki oleh Rasulullah s.a.w. selepas terbentuknya Negara Islam Madinah telah berjaya membina sebuah masyarakat madani yang menjadikan Islam sebagai ad-Din atau sebagai cara hidup yang berpaksikan syariat Allah s.w.t..

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Detik Hijrah itu juga telah mencetus satu fenomena persaudaraan yang soalah-olahnya mustahil berlaku dalam kalangan masyarakat Arab yang berpuak-puak dan sentiasa bertelingkah tanpa penghujungnya. Hijraturrasul s.a.w. yang membawa satu semangat ukhuwwah Islmaiyah telah berjaya memadam api permusuhan suku bangsa yang telah wujud sekian lama. Atas nama Ukhuwah Islamiayah maka seluruh masyarakat yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya mula merapatkan saf persaudaraan. Sementara masyarakat secara umum yang berbilang bangsa dan agama mula menerima rasional Islam atas dasar keadilan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Hijraturrasul s.a.w. yang sengaja direncanakan oleh Allah s.w.t. menjadi detik penting dalam merealisasikan syariat Allah dengan penggubalan sebuah piagam yang tertinggi dalam pentadbiran sebuah Negara Islam. Justeru Negara Islam Madinah telah membuktikan betapa Islam hendaklah dijadikan sebagai asas yang tunggal dalam pentadbiran sebuah negara dan syariat Allah sebagai peraturan yang tunggal bagi mengatur kehidupan manusia.

Firman Allah s.w.t.:
﴿ ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الكافرون ﴾
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturukan oleh Allah (kerana mnegingkarinya) maka mereka itu orang-orang yang kafir. – al-Ma’idah : 44

Di dalam ayat lain Allah s.a.w. telah berfirman:


﴿ أفحكم الجاهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون ﴾
Adakah patut mereka (teruja dan) berkeinginan lagi dengan hukum-hukum jahiliah; walhal, bagi orang-orang yang yakin mereka pasti tiada siapa yang layak membuat hukum yang lebih baik daripada Allah. – al-Ma’idah : 50


Sidang hadirin yang dihormati,

Perkara kedua yang ingin saya utarakan pada kesempatan khutbah hari ini ialah tentang suatu hubungan yang rapat antara hijrah dengan jihad. Sesungguhnya tuntutan jihad amat diperlukan dalam melaksanakan hijrah.


Firman Allah s.w.t.:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
﴿ إن الذين ءامنوا والذين هاجروا وجاهدوا في سبيل الله أولئك يرجون رحمت الله والله غفور رحيم ﴾

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah dan berjuang pada jalan Allah, mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat (dan kasih sayang) Allah; dan Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. – al-Baqarah : 218

Berdasarkan ayat di atas, kita mendapati perkataan hijrah dan jihad digandingkan dan dikaitkan pula dengan perkataan iman . Hal Ini menunjukkan hijrah dan jihad harus dibangunkan  atas dasar keimanan.  Hakikat Iman merupakan satu bentuk keyakinan kepada  Allah. Ia merupakan syarat kebahagian, kemenangan dan kemuliaan di dunia dan akhirat. Sementara Hijrah pula adalah satu bukti atau tindakbalas keimanan; dan Jihad pula adalah bentuk komitmen dalam menegakkan keimanan.

Hakikat hijrah boleh diterjemahkan sebagai melaksanakan perintah Allah dengan meninggalkan sifat keji dan kederhakaan kepada-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya dan meninggalkan segala bentuk kesukaan atau kecintaan kepada kemaksiatan, maka hijrah itu harus dilakukan sepanjang perjalanan hidup sebagai seorang muslim. Bagi merealisasikan perkara ini pastinya menuntut kepada kesungguhan atau jihad. Oleh yang demikian , iman, hijrah dan jihad merupakan kunci bagi manusia untuk meraih darjat yang tinggi dan kemenangan dalam melawan musuh-musuh kebenaran.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Sebaik berjaya menawan dan membuka kota Makah, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabada:

( لا هجرة بعد الفتح ولكن جهاد ونية وإذا استُنفِرتم فانفروا )
Maksudnya: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan (Kota makah), tetapi (yang kekal) ialah jihad dan niat; dan apabila kamu diminta bersiap sedia maka bersedialah.

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa  tiada lagi hijrah bagi umat Islam pada masa itu selepas pembukaan kota Makkah. Namun, Rasulullah s.a.w. memperluaskan skop dan konsep hijrah pada bahagian kedua dengan menyatakan, niat dan kesediaan berjihad untuk Islam juga dianggap sebagai satu cabang daripada hijrah.

Justeru peranan jihad sepertimana yang diterjemahkan oleh Imam As-Syahid  Hassan Al-Banna adalah satu kefardhuan yang berterusan sehingga hari kiamat.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
﴿ والذين هاجروا في الله من بعد ما ظلموا لَنُبَوِّئَنَّهُم في الدنيا حسنة ولأجر الآخرة أكبر لو كانوا يعلمون ﴾
بارك الله لي ولكم في القرءان العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم . أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات  فاستغفروه  فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين


No comments:

Post a Comment