Sunday, December 18, 2011

IBU ENGKAULAH RATU HATI

Ramai melihat betapa berbaktinya seorang anak sekiranya sanggup bekorban masa dan tenaga menjaga ibu yang  tua dan menaggung keuzuran. Secara tersurat memang diakui inilah sikap seorang anak yang soleh yang mengenang budi. Namun sedikit renungan untuk diri sendiri, tiada apa yang lebihnya yang walaupun seorang anak sanggup mengorbankan masa dan kesenangan untuk menguruskan seorang ibu tua yang keuzuran jika dibandingkan dengan pengorbanan seorang ibu yang pernah suatu ketika dahulu melahir, membela, menjaga, dan membesarkan si anak.

Apa yang dimaksudkan pada perbandingan ini ialah apabila dilihat pada objektif atau kemuncak dari aspek suatu yang diharapkan. Ketahuilah, bagaimana hebatnya kebaktian seorang anak dalam mengurus dan menjaga seorang ibu dari menjaga makan, minum dan kesihatan, bahkan si anak yang soleh tetap sanggup membersihkan najis ibu yang kelaknya tidak mampu lagi mengurus diri sendiri. Betapa si anak dilihat sebagai seorang anak yang cukup berbakti. Namun sama ada disedari atau tidak semuanya ini hanya akan berlaku sementara dengan harapan inilah bakti si anak sebelum ibu menghembus nafas yang terakhir. Nilai pengorbanan ini amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan pengorbanan ibu yang membela, menjaga dan mendidik anak. Pengorbanan ibu adalah dengan harapan untuk melihat si anak hidup membesar dengan sihat dan berjaya dan bukannya menjaga sementara menunggu si anak mati. Ketahuilah tidak ada seorangpun si anak yang berkorban masa dan kesenangan menjaga ibu dengan harapan ibunya terus hidup membesar dan berjaya dalam hidup. Walaupun bakti si anak suatu yang mulia, ianya tidak dapat menandingi pengorbanan ibu. Bagaimana besar pengorbanan si anak menjaga ibunya, hakikatnya hanya sementara menunggu ibunya menutup mata sahaja. Justeru anak yang soleh tiada pilihan lagi selain wajib berbakti kepada ibu sebagai menunai satu tanggungjawab semata-mata.

Sementara dalam situasi lain pula,  apabila si anak ditakdirkan terpaksa berjauhan dengan ibu dengan alasan terpaksa mencari rezeki, maka sekurang-kurangnya mohonlah keizinan untuk tujuan tersebut. Dalam pada itu berushalah pulang menjenguk ibu sekerap mungkin untuk berbakti kepada ibu. Bahkah berusahalah sedaya upaya untuk kembali bersama ibu untuk berbakti kepadanya. Tiada yang lebih baik sebagai seorang anak, kecuali menunaikan tanggungjawab kebaktian kepada ibunya. Justeru kesempatan yang masih ada luangkanlah masa semaksima mungkin untuk berbakti kepada ibu. Kesempatan cuti yang ada tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan lain sama ada untuk pergi melancong atau seumpamanya sekiranya ibu tertunggu-tunggu di kampung halaman. Amat keterlaluan jika kesempatan cuti dihabiskan ditempat lain, sedangkan ibu tua tidak dijenguk. Dalam pada itu, yang walaupun pulang bercuti ke kampung, si anak masih lalai untuk memperuntukkan masa yang maksima bersama ibu, justeru kesempatan untuk berbakti dalam konteks tanggungjawab menjaga seorang ibu boleh dianggap masih tidak ditunaikan. 
Ya Tuhan, ampunilah dosaku dan dosa kudua ibu bapaku serta rahmatilah kedua mereka sesuai dengan pengorbanan mereka burdua memelihara, menjaga dan mendidikku.     

 

No comments:

Post a Comment